welcome to my blog

Friday, October 22, 2010

gambar-gambar masjid Kampung Jerangau Barat

Posted by Siti Aishatun Binti Abdul Wahab at 4:38 AM 0 comments










SEJARAH PENUBUHAN DAN KEGIATAN MASJID KARIAH SAYA

Posted by Siti Aishatun Binti Abdul Wahab at 4:31 AM 0 comments
Masjid merupakan sebuah tempat bagi umat islam untuk menunaikan ibadat, contohnya untuk menunaikan ibadat solat sunat atau wajib. Di sini saya ingin memperkenalkan sebuah masjid yang cukup indah iaitu masjid di kampung saya. Seperti masjid-masjid lain, masjid di kampung saya juga tidak kurang hebatnya, walaupun berada di kawasan pendalaman , jauh dari kota tetapi ia mempunyai tarikan yang tersendiri. Seperti yang anda lihat gambar di atas merupakan gambar masjid di kampung saya.Gambar ini diambil  sebulan yang lalu. Gambar ini diambil ketika waktu tengahari jadi gambar ini tidak  kelihatan begitu jelas.

Masjid ini diberikan nama Masjid Kampung Felda Jerangau Barat. Masjid sementara ditubuhkan pada januari 1984. Masjid ini hanya bersebelahan dengan masjid sementara yang digunakan sebelum pembinaan masjid baru ini. Masjid baru ini di bina lebih kurang dua tahun sebelum perasmiannya. Masjid sementara itu telah dijadikan sekolah rakyat tapi sekarang ia telah menjadi satu bangunan yang bersejarah. Masjid ini  ini dirasmikan oleh Tan Sri Hj Wan Mokhtar Bin Ahmad iaitu bekas Menteri Besar Terengganu pada hari jumaat , 15 safar 1413 bersamaan 14 Ogos 1992. Masjid ini terletak di Kampung Felda Jerangau Barat. Sebuah kampung di kawasan Hulu Terengganu dan semestinya  berada di negeri Terengganu iaitu negeri pesisir air.

Sebelum ini pembinaan  masjid sementara keseluruhannya diperbuat daripada  kayu.  Masjid sementara ini lebih kurang 4 tahun penggunaannya barulahlah ditukar dengan masjid baru. Keluasan masjid ini hanya dapat menampung sedikit sahaja jemaah. Selain itu, kemudahan di masjid ini tidak mencukupi. Keadaan kawasan masjid ini tidak mempunyai landskap yang cantik serta kawasan  persekitaran yang kurang penjagaan  yang sepatutnya. Oleh yang demikian ini amat menyukarkan masyarakat kampung untuk menunaikan ibadat .Dengan pertambahan bilangan masyarakat kampung yang cepat dan ramai , masjid ini tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai. Ini amat menyukarkan apabila mengadakan majlis tertentu di masjid. Oleh itu, masjid ini di ubah dan diperbesarkan bagi memuatkan jemaah yang mencukupi.

Sekarang boleh dikatakan keseluruhan bangunan masjid baru  ini menggunakan batu bata. Cuma bahagian bumbung masih ada penggunaan kayu.  Semua kos pembinaan masjid ini ditanggung oleh pihak Felda sepenuhnya. Masjid ini di bina bersebelahan dengan kawasan pejabat Felda sendiri.  Selain itu, masjid ini di tadbir sepenuhnya oleh pihak Felda. Cuma pengurusan masjid di beri tanggungjawab kepada pihak jawatankuasa masjid.Dari kejauhan lagi keindahan masjid  dapat dilihat. Ini menambahkan lagi keindahan kampung ini. Kawasan masjid ini sangat luas dan cantik. Kawasan berhampiran masjid ini ditanam dengan pelbagai jenis pokok bunga dan pokok buah-buahan contohnya pokok buah naga. Tanaman lain adalah seperti pokok kelapa dan pokok manggis. Tanaman ini adalah hak milik masjid.

Seperti yang dapat anda lihat masjid ini di cat dengan warna putih. Biasanya warna putih melambangkan kesucian.Bumbungnya pula diwarnai dengan warna biru, oren dan sedikit warna hijau. Di hadapan pintu masjid pula diletakkan beberapa pasu bunga untuk mengindahkan la kawasan masjid.  Di masjid ini mempunyai banyak pintu sebenarnya. Ini untuk memudahkan jemaah lelaki mahupun perempuan untuk masuk ke dalam masjid.

Keadaan di dalam masjid pula dilengkapi dengan kipas angin yang secukupnya beserta dengan lampu. Selain itu, di dalam masjid ini juga dilengkapi dengan permaidani yang berwarna biru gelap. Di dalam masjid ini juga di hiasi dengan tulisan-tulisan ayat Al-Quran. Ini akan memakmurkan lagi masjid ini. Tidak cukup dengan kipas siling di sini juga menyediakan kipas angin yang besar yang diletakkan di hadapan sekali. Masjid ini juga dilengkapi dengan jam elektronik. Ini amat memudahkan jemaah masjid berkenaan waktu solat.

Seperti sedia maklum,di setiap masjid semestinya mempunyai carta organisasi masjid itu tersendiri. Di masjid ini ,terdapat carta organisasi masjid yang telah ditetapkan. Carta ini dilakukan untuk  memudahkan kerja atau pengurusan di  masjid ini. Pengerusi masjid ini ialah Ustaz Junos Bin Hj.Embong, setiausahanya pula ialah Hj Senik Bin Chik, dan bendaharinya ialah Hj Ishak Bin Yassin. Selain itu, carta ini turut di anggotai oleh beberapa ahli jawatankuasa  masjid iaitu Hj Abdullah Bin Abd Rahman, Encik Mat Nor Hj Ali dan Encik Sulong Bin Salleh.

Pegawai-pegawai masjid yang dilantik terdiri daripada tiga orang imam, tiga orang bilal dan dua orang pemeriksa kira-kira. imam-iman masjid ini ialah Haji Senik Bin Chik, Ustaz Junos Bin Haji Embong, dan Haji Abdullah Bin Abdul Rahman. Para bilal di masjid ini ialah Haji Ishak Bin Yassin, Mat Nor Bin Hj Ali, dan Sulong Bin Salleh. Para pemeriksa kira-kira di masjid ini ialah Che Hassan Bin Ayub dan Abu Bakar Bin Ali. Selain itu, jadual bertugas untuk para imam dan bilal turut disediakan.

Antara aktiviti -aktiviti yang dijalankan di masjid ini ialah seperti bacaan yassin pada khamis malam jumaat.  Majlis tahlil juga biasanya dilakukan di masjid. Selain itu,sembahyang jenazah juga dilakukan di masjid apabila berlaku kematian di kampung kami. Di masjid ini juga sering digunakan untuk majlis akad nikah.Selain itu, di masjid ini juga mengadakan kelas tafsir Al-Quran pada setiap hari selasa.selain itu, kelas fardu ain dan kelas Al-Quran juga dilakukan pada setiap hari. Jadi   majlis khatam al-quran juga sering dilakukan di masjid ini. Pada setiap tahun umat islam akan menyambut bulan ramadhan dan seperti kebiasaan yang dilakukan setiap tahun di bulan ramadhandi masjid ini adalah bacaan Al-Quran dan khatam Al-Quran, solat sunat, Qiamulai, solat sunat terawih. Dan semestinya dilakukan juga aktiviti berbuka puasa secara beramai-ramai.

Selain itu,  majlis solat hajat juga biasa dilakukan contohnya untuk para pelajar yang akan menduduki ujian-ujian atau peperiksaan yang penting seperti PMR,SPM dan STPM . Tidak ketinggalan  majlis nisfu syaaban dan maulidurasul. Pada setiap tahun juga umat islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri jadi kebiasaan majlis solat hari raya dilakukan di masjid ini. Walaupun begitu, setiap tahun bilangan jemaah yang datang solat sunat hari raya terlalu ramai jadi ada diantara jemaah  terpaksa solat di bahagian masjid. Hal ini demikian kerana kebanyakan anak-anak  di kampung ini ramai yang merantau ke luar daerah atau negeri. Walaupun begitu, ramai juga jemaah solat di surau .

Setiap tahun aktiviti  menziarahi kubur dilakukan selepas solat sunat aidilfitri. Aktiviti-aktiviti lain iaitu seperti perkara -perkara penting untuk disampaikan kepada makmum dan setiap 30 haribulan pegawai masjid akan bermesyuarat berkenaan dengan masjid . Selain itu, majlis gotong royong juga dilakukan dengan penglibatan semua (jumaat minggu kedua). Setiap tahun juga hari raya korban di sambut di masjid ini. Aktiviti penyembelihan lembu juga dilakukan bersama-sama antara masyarakat kampung. Tidak ketinggalan juga majlis untuk sambutan hari peneroka juga dilakukan di masjid ini.

Aktiviti dakwah juga diperluas contohnya masjid ini tidak hanya menggunakan khidmat  pendakwah di kampung ini tetapi turut mengambil para pendakwah  lain seperti 2 orang guru agama tempatan. Antaranya ialah Ustaz Wan Nasir Bin Wan Nawang iaitu guru agama dan Penguatkuasa Syariah Hulu Terengganu dan yang kedua ialah Ustaz  Habibi Bin Hamzah iaitu Penolong Pengarah Yayasan Islam Terengganu. Selain masyarakat dapat menambah ilmu agama mereka juga dapat meminta khidmat nasihat daripada guru tempatan ini. Selain itu, pada stiap hari jumaat dilakukan solat jumaat. Jadi selepas solat  ada penyampaian tazkirah oleh imam kepada makmumnya. Soal agama menjadi tajuk kebiasaan . Hal ini sangat bagus kerana dapat menasihatkan umat islam di kampung saya supaya lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa. Selain itu, dapat menambahkan ilmu berkaitan agama islam. Pada setiap malam ketika selepas solat magrib juga dilakukan tazkirah oleh ustaz yang bertugas.

Selain itu, untuk melancarkan segala pengurusan yang perlu dilakukan seperti pembersihan kawasan masjid , perbelanjaan bulanan masjid telah ditetapkan. Antara perkara yang termasuk adalah pembersihan kawasan tandas, membersih kawasan masjid yang dilakukan dua kali sebulan dan  membersih kawasan kubur yang dilakukan satu kali dalam sebulan, sumbangan tenaga pengajar , bil air dan elektrik ,kerosakan dan lain-lain peralatan. Oleh itu, kerja –kerja pembersihan dapat dilakukan dengan terurus. Kos perbelanjaan bulanan masjid ini hanyalah RM 880. Perbelanjaan kos ini adalah dari sumbangan orang ramai.

Kemudahan –kemudahan juga disediakan di masjid ini iaitu seperti garaj kenderaan seperti kereta, motorsikal dan basikal. Di sini terdapat dua kawasan garaj untuk kemudahan para masyarakat meletakkan kenderaan mereka dengan teratur. Selain itu, di masjid ini juga mempunyai dua tandas  dan satu rumah untuk membuat keranda  yang di panggil ‘rumah khairat’ apabila berlaku kematian di kampung ini. Di rumah ini disediakan peralatan kematian. Kos yang diperlukan untuk pengurusan berkaitan peralatan kematian ini ditanggung oleh tabung khairat itu sendiri yang hasilnya dari derma orang ramai dan kutipan bersama dari setiap rumah di kampung ini.

 Pustaka mini juga terdapat dalam masjid untuk kemudahan orang ramai untuk menambahkan ilmu agama dengan menempatkan Al-Quran, kitab serta buku-buku agama yang diletakkan di atas rak yang telah disediakan. Kitab-kitab ini , Al-Quran juga adalah hasil sumbangan masyarakat kampung ini sendiri. Selain itu,  kitab dan buku-buku agama ini dibelikan oleh jawatankuasa masjid ini sendiri. Apabila sesuatu majlis diadakan , pinggan mangkuk di masjid ini boleh digunakan dalam majlis tersebut. Selai itu, di masjid ini juga menyediakan sebuah tempat untuk memasak serta kerusi yang mencukupi dan khemah untuk sesuatu majlis. Tabung masjid juga disediakan dan diletakkan di tengah tiang masjid. Hasil dari tabung masjid ini juga digunakan untuk tujuan sedekah kepada fakir miskin, untuk kegunaan masjid, pembaikan struktur masjid dan keceriaan dalam masjid.

Kemudahan –kemudahan lain yang turut disediakan ialah sejadah, telekung untuk jemaah perempuan, kipas angin, lampu serta kain tirai yang memisahkan kawasan jemaah lelaki dan jemaah perempuan. Ini semuanya hasil sumbangan masyarakat dan ditambah oleh ahli jawatankuasa masjid itu sendiri. Di sini juga terdapat kolah  untuk  para kaum lelaki untuk mengambil wuduk. Bagi kaum perempuan , tempat mengambil wuduk disediakan dan terlindung dari pandangan jemaah lelaki. Kemudahan singki untuk membasuh tangan atau pinggan mangkuk juga disediakan. Meja yang digunakan untuk membaca Al-Quran juga disediakan. Selai itu berkenaan imaratul masjid, tentang piagam pelanggan masjid juga disediakan.

Keistimewaan masjid ini ialah kedudukan yang strategik. Hal ini demikian kerana, masjid ini berada di tengah-tengah kampung. Hal ini demikian kerana berdekatan kampung kami ada kawasan  perkampungan warga kilang sawit. Mereka juga turut menggunakan masjid ini. Selain itu, masjid ini berdekatan dengan kawasan perkuburan. Selain itu, masjid ini terletak berhampiran kawasan kediaman, klinik desa serta dewan utama bagi kampung ini.

Oleh itu, ini amat memudahkan masyarakat kampung untuk menjalankan tnggungjawab masing-masing. Keistimewaan masjid ini juga ialah kawasan perkarangan masjid ini di lengkapi dengan landskap yang cantik dan mendamaikan.  Apabila anda berada di kawasan masjid ini anda akan berasa nyaman dan tenang. Pemandangan di kawasan kampung yang amat menenangkan. Dari  kawasan masjid anda akan dapat lihat kawasan perkuburan yang bersih. Selain itu, masjid ini juga dilengkapi dengan kata-kata hikmah, larangan  dan nasihat. Antara contohnya ialah kebersihan sebahagian dari imam, manusia yang berakal adalah manusia yang suka menerima dan  meminta nasihat, kawasan larangan merokok dan tidak dibenarkan penggunaan telefon bimbit di masjid. Ini kerana ia akan menganggu para jemaah yang tengah solat. Maknanya letakkan ia dalam mode senyap.

Selain itu, di masjid ini juga mempunyai  sudut maklumat di hadapan bersebelahan pintu masjid. Papan kenyataan ini dipenuhi dengan maklumat tentang agama, sosial dan kesihatan. Masyarakat dapat menggunakan info-info ini untuk kebaikan bersama. Maklumat tentang haji juga dimaklumkan di sini. Jadi masyarakat boleh mendapatkan maklumat ini. Ini juga dapat meningkatkan amalan membaca dalam kalangan umat islam di kampung saya. Selain itu, tanda-tanda peringatan juga ditampal.

 Peraturan –peraturan masjid juga di sediakan supaya umat islam lebih menghormati masjid yang suci ini. Antara peraturan yang digariskan ialah  adab ketika berada di dalam masjid. Antara kandungan peraturan ini ialahmemberi salam sebelum masuk, sembahyang tahiyatu masjid sebelum duduk, niat iktikaf membaca Al-Quran,jangan melakukan perkara sia-sia,betulkan dan rapatkan saf sebelum sembahyang bermula, tumpukan kepada majlid pembelajaran, tidak boleh bercakap perkara sia-sia di dalam masjid, tidak boleh bising dalam masjid dan tidak boleh terlunjur kaki ke arah kiblat. Selain itu, papan kenyataan juga disediakan. Ini digunakan oleh imam masjid ini untuk memaklumkan sesuatu perkara penting atau rancangan yang hendak dilakukan di masjid ini.

Masalah yang berlaku  di masjid ialah kurangnya bilangan makmum dari golongan muda  yang datang ke masjid. Apabila solat jumaat, aidilfitri sahaja ramai dari golongan ini datang ke masjid. Oleh itu, sepatutnya pihak masjid perlulahlah memainkan peranan yang penting supaya golongan muda ramai datang ke masjid untuk bersama-sama solat jemaah dan mengikuti  aktiviti agama yang dilakukan. Contohnya dengan mengadakan ceramah agama, mengadakan program fardu ain, tilawah Al-Quran, dan mengadakan program motivasi yang dapat menginsafkan kaum belia ini.

Kesimpulannya, masjid ini amat bermakna bagi kami iaitu warga kampung ini. Telah banyak jasanya kepada  masyarakat kampung kami. Semoga dengan pendedahan ini kita dapat sama-sama  dapat meningkatkan lagi kasih sayang kepada masjid. Bagi saya masjid di kampung saya sangat indah dan sangat bagus. Dengan memiliki keindahan landskap tersendiri . Saya mewakili masyarakat kampung mengalu-alukan kedatangan umat islam yang ingin mengenali masjid kampung ini dengan lebih dekat. Akhir kata marilah kita sama-sama sebagai umat islam membangunkan masjid di kampung kita. Jagalah kebersihan masjid sesungguhnya kebersihan adalah sebahagian daripada  iman. Sehubungan dengan itu, kita sama-samalah meningkatkan iman, ketakwaan dan kecintaan kepada agama islam dan kepada pencipta kita semua. Sayangilah masjid  di kampung masing-masing. Wassalam.....